Sunday, November 30, 2008

Sedih Lagi

Hari ini aku merasa sedih. Airmata ku tumpah lagi.

Buckley - burung yang dijumpai oleh anak-anakku mati pada pukul 7.50 malam. Matinya burung itu memberikan kesan kepada anakku yang paling kecil iaitu Nafis. Pada peringkat awal, burung itu segar. Namun selepas kami pindahkan ke sangkar yang baru, sayapnya terlekat dan menyebabkan dia parah. Mungkin dalam bergelut mengeluarkan sayapnya, dia tercedera. Aku merasa sedih kerana Nafis sangat gembira bila menjumpai burung tersebut berada di depan rumah kami.

Aku menonton berita TV3 malam ini dan terpaku dengan kemalangan ngeri melibatkan 4 orang pekerja Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dan bus Mutiara Ekspress di Jalan Kota Bharu-Gua Musang. Mungkinkah ada orang yang aku kenal terlibat di dalam kemalangan tersebut. Semoga tidak. Kalau tidak ada sekalipun yang aku kenal, 4 nyawa sudah melayang dan kembali ke rahmatullah. Dan sudah pasti, yang aku tidak kenal itu tetap akan meninggalkan dunia yang fana ini.

Dua anak dari keluarga di Ulu Yam telah meninggal akibat tertimbus di rumah banglo mereka. Sedih dan pilunya hati ibu bapa mereka. Sedangkan aku yang menonton tv boleh tertumpah airmataku, apa lagi mereka yang terlibat.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hari Raya Aidil Adha tahun ini membawa kesedihan dan kedukaan kepada keluarga-keluarga yang terlibat. Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada keluarga mereka yang meninggal dunia pada hari ini.

Al-Fatihah.

~hj ishe~

No comments: