Monday, December 8, 2008

KT38 Setahun Berlalu - Part 2

Saat ini setahun yang lalu:

Di saat ini, aku dan isteri sangat bersyukur kerana dirahmati Allah S.W.T dengan limpah kurnianya kami berjaya menyempurnakan sebahagian dari Rukun Haji iaitu niat ihram haji, Wukuf di Arafah dan Tawaf di Kaabah.

Rukun Haji yang masih belum di lakukan oleh kami ialah Saie antara Safa dan Marwah.

Pada hari ini, kami melontar di ketiga-tiga Jamrah sebelum kami berjalan balik ke Mekah. Perjalanan kami bersama-sama lautan manusia yang berjalan kaki melalui terowong Muassim, terowong yang pernah meragut nyawa ratusan umah manusia beberapa tahun dahulu. Perjalanan yang memakan masa sejam ini kami lalui. Tidak pernah dalam hayat hidup kami berjalan sejauh itu jaraknya.

Setelah sejam berjalan kaki, kami tiba di Maulud Nabi dan kami pun kembali ke bilik untuk berehat sebelum melakukan rukun terakhir haji iaitu, saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.
Selepas Zuhur, kami selesai mengerjakan Saie dan kami kembali ke hotel dengan perasaan yang bercampur baur. Gembira kerana selesai mengerjakan Rukun-rukun Haji, gementar memikirkan sama ada segala ibadah kami diterima Allah S.W.T.

Selepas Asar, kami berjalan kaki kembali ke Mina untuk mabit di sana.

Selepas subuh esoknya, kami bercadang untuk mengerjakan melontar di Jamrah, tetapi terhalang kerana diberitakan bahawa terlampau ramai orang yang bergerak menuju ke Jamrah. Setengah jam selepas itu, ada rakan jemaah yang pulang dan mengatakan bahawa pergerakan jemaah haji sudah berkurangkan. Maka, aku dan isteri segera menunaikan wajib haji iaitu melontar di ketiga-tiga Jamrah.

Selepas itu kami tidak lagi kembali ke Mekah, kami berpusing balik ke Mina untuk berehat di sana. Di samping itu kami mengambil peluang untuk berkenal-kenal dengan rakan-rakan khemah di Mina serta membuat pengisian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

Malamnya kami bergerak mengenali bumi Mina. Makan roti canai telur SR5 sebiji. Kalau kat Malaysia, memang sah kami takkan beli roti canai telur yang semahal itu ... hehehe.

Bersambung Lagi

~hj ishe~

No comments: